Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat
dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan
mengisi waktu lapang. Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan
permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila
masa sahaja.
Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain. Dari segi
pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan
pemain tidak terbatas.
Berkenaan bulu ayam yang digunakan, bentuknya sekali imbas hampir
menyerupai bulu tangkis yang ada sekarang ini. Penyediaannya tidak terlalu rumit
atau memakan masa yang panjang. Tidak juga membebankan dari segi modal. Malah
boleh dikatakan sesiapa juga yang ingin bermain mampu membuatnya sendiri.
Ada
yang perlu ada 3, 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya
diikat pada sekeping getah tebal. Boleh juga gunakan getah tiub tayar. Getah
itu terlebih dahulu dipotong bulat
dengan ukuran garis pusatnya kira-kira 4 cm. Getah itu digamkan berlapis-lapis
supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku
itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal
bulu-bulu ayam. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.
Ia lebih seronok dimainkan beramai-ramai atau berpasukan. Kalau
dah tak ada, berdua pun jadilah. Dahulu, waktu petang di kampung-kampung,
permainan inilah menjadi pilihan. Pemain tidak boleh marah, maka senda gurau
tidak ketinggalan dan membuatkan gelanggang riuh rendah. Sekarang, walaupun
tidak sekerap dahulu, kita masih dapat menyaksikan permainan warisan ini. Masih
ada kanak-kanak yang menghidupkan permainan ini. Di sekolah, pada waktu rehat
umpamanya, kedapatan murid-murid yang menunjukkan kemahiran menimbang bulu ayam
ini.
No comments:
Post a Comment