Pengenalan
.jpg)
Permainan guli ialah
melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh
kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain
tidak melebihi lima orang.
Kawasan tanah rata dan
lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang
digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu
kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.
Gelanggangnya
Satu bulatan dilukiskan
di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut
dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam 7sm. dengan
menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak
3m. daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula
tempat permainan.
Cara Bermain:
Untuk memulakan
permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang
induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira
sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli
kedua hampir dan seterusnya.
Pemain pertama akan
menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar
terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua
akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga
semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.
Pemain boleh melepaskan
gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam
lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa
berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini
memudahkan mereka mengawal permainan.
Setiap pertukaran
giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran
dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu
sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang
induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan mata berdasarkan
banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain
selesai giliran.
Dua cara dendaan akan
dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah
akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan
memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik
sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.
No comments:
Post a Comment